Cadangan Penggunaan Lampu Solar di Lokasi Hotspot Kecurian Kabel akan Diteliti –...

Cadangan Penggunaan Lampu Solar di Lokasi Hotspot Kecurian Kabel akan Diteliti – Ruddy

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan meneliti cadangan penggunaan lampu jalan berkuasa solar di lokasi yang dikenal pasti sebagai hotspot kecurian kabel bagi mengurangkan gangguan bekalan elektrik dan telekomunikasi akibat kegiatan jenayah berkenaan, kata Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Ruddy Awah.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa ke kementerian berkenaan susulan saranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, agar sistem sola dipasang di kawasan berisiko tinggi yang kerap menjadi sasaran pencuri kabel.

“Saya amat setuju kita cuba mengangkat perkara ini ke kementerian yang berkenaan agar kalau boleh selain daripada kabel, kita juga guna solar untuk memastikan perkhidmatan dapat diteruskan.

“Bagaimanapun, di kawasan saya sendiri sudah dipasang lampu solar tetapi masih boleh dicuri. Jadi, kecurian ini boleh berlaku di mana-mana,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Ruddy berkata, isu kecurian kabel bukan sahaja menjejaskan bekalan elektrik, malah turut memberi kesan kepada perkhidmatan telekomunikasi serta menyebabkan kerugian besar kepada agensi utiliti.

Menurut beliau, berdasarkan rekod Sabah Electricity, sebanyak 12 kes kecurian kabel voltan sederhana (11kV dan 33kV) direkodkan di sekitar DUN Karambunai pada 2025, manakala lima kes lagi direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini. 

Katanya, Sabah Electricity telah meningkatkan usaha pencegahan melalui rondaan berkala di kawasan berisiko serta operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan.

Bagi DUN Karambunai sahaja katanya, sebanyak 35 operasi rondaan dan pemantauan dilaksanakan sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.

Ruddy turut menggesa semua wakil rakyat dan komuniti setempat bekerjasama memantau kawasan masing-masing serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada polis kerana Sabah Electricity tidak mempunyai kuasa untuk menangkap suspek.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan masyarakat, selain meningkatkan rondaan di kawasan hotspot serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan aset utiliti dan kesinambungan bekalan elektrik kepada rakyat Sabah.