SEMPORNA, SABAH – Seorang remaja 18 tahun maut terjerat pada enjin sangkut sebuah bot pam ketika cuba menghidupkannya di Kampung Panji di sini pagi kelmarin.
Kemalangan pada kira-kira 11.30 itu berlaku kepada mangsa lelaki yang dikatakan baru hendak ke laut untuk menangkap ikan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki sejauh 1 Km untuk ke lokasi kejadian kerana tiada laluan bot.
“Berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga mangsa, kemungkinan besar insiden berpunca dari lengan baju mangsa yang terjerat pada aci enjin bot tersebut semasa sedang bergerak di laut…
“Tarikan ini menyebabkan mangsa jatuh ke dalam air sehingga rambut dan kepala mangsa turut diheret kepada pusingan aci enjin.
“Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital yang terletak berhampiran untuk tindakan selanjutnya.





