KAPAYAN: ADUN Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang mengumumkan pemasangan perangkap sampah kedua di saluran belakang restoran Funky Farm sebagai usaha berterusan menjaga kebersihan sungai di kawasan itu.
Projek dilaksanakan bersama River Squad Kapayan (RSK) dan komuniti setempat.
Menurut Jannie, perangkap pertama di Kg. Sodomon telah berjaya menahan lebih 10 tan sisa plastik dan organik daripada memasuki Sungai Petagas tahun lalu.
“Dengan adanya perangkap kedua ini, usaha memelihara sungai di Kapayan dapat diperluas dan memberi impak lebih besar,” katanya.
Beliau menegaskan kebersihan sungai adalah cerminan sikap masyarakat.
“Kalau sesuatu tempat kotor dan tercemar, ia menunjukkan sikap orang di situ. Sebab itu perubahan mesti bermula dengan kesedaran dan tindakan bersama,” katanya.
Sebagai aktivis alam sekitar sebelum menceburi politik, Jannie menekankan bahawa projek ini lebih daripada sekadar inisiatif fizikal.
“Ia sebenarnya gerakan rakyat yang digerakkan oleh semangat komuniti,” ujarnya.
Jannie turut mengumumkan Festival Sungai Kapayan 3.0 akan berlangsung hujung September.
“Festival ini kesinambungan kepada usaha pendidikan dan kesedaran masyarakat, di samping meraikan sungai sebagai aset bersama,” jelasnya.
Beliau menyeru warga Kapayan agar terus berganding bahu menjaga sungai.
“Kapayan adalah rumah kita bersama. Sungai ini perlu kita pelihara untuk generasi hari ini dan masa depan,” katanya.






