PDRM Sabah Tumpaskan Sindiket Dadah Bernilai RM1 Juta, Aset Lebih RM4 juta...

PDRM Sabah Tumpaskan Sindiket Dadah Bernilai RM1 Juta, Aset Lebih RM4 juta Dirampas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah jenis ketamin seberat 20.7 kilogram dalam satu operasi khas baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh bin Dikun, berkata serbuan pertama dilakukan pada 4 September di sebuah premis perniagaan di Taman Sri Kepayan, Kota Kinabalu, hasil risikan dan maklumat awam.

Dalam serbuan itu, polis menemukan dua karung hijau berisi 20 bungkus plastik bertulisan Tie Guan Yin yang kesemuanya mengandungi ketamin. Nilai rampasan tersebut dianggarkan lebih RM1.03 juta.

Menurut beliau, hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan suspek kedua sehari kemudian di kawasan Kepayan, diikuti penahanan sepasang suami isteri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada malam yang sama.

Mereka yang ditahan ialah seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pengurus syarikat kurier, seorang lelaki 58 tahun yang merupakan kerani operasi syarikat kurier, seorang lelaki 47 tahun pemilik syarikat kurier, serta isterinya yang berusia 46 tahun dan tidak bekerja.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai menggunakan perkhidmatan kargo udara dari Semenanjung untuk menghantar bekalan dadah ke Sabah,” jelas Datuk Jauteh.

Selain merampas dadah, polis turut menyita pelbagai aset mewah yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran. Antara barangan sitaan ialah lima buah kereta mewah termasuk Lamborghini Aventador, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan Chevrolet Colorado, dua televisyen 60 inci, tujuh unit pembesar suara, 10 beg tangan berjenama, komputer dan sejumlah wang tunai. Nilai keseluruhan sitaan dan rampasan dianggarkan mencecah RM4.21 juta.

Hasil ujian saringan awal mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis Meth/AMP, manakala tiga lagi bebas. Semakan rekod pula mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Datuk Jauteh menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Rampasan ini mampu menampung sehingga 160,000 kali penggunaan dadah. Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. JSJN Kontinjen Sabah akan terus komited memerangi dadah demi melindungi generasi kini dan akan datang,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di 012-2087222.