PENAMPANG, SABAH – Kerajaan Negeri akan terus membantu lebih 900 penduduk Kampung Sugud dan kawasan sekitarnya yang terjejas teruk ekoran banjir kilat minggu lalu.
Ketua Bahagian BERSATU Penampang Datuk John Ambrose berkata, kos pemulihan bernilai sekurang-kurangnya RM 13 juta.
“Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sudah mengarahkan kami bagi membantu. Dia mahukan semua tapak-tapak kerajaan di sini termasuk sekolah, kerosakan jalan serta lain-lain diselenggara secepat mungkin…
“Pada hari ini kita melakukan kerja gotong-royong membersihkan Sekolah Kebangsaan Sugud,” katanya semalam.
Beliau menegaskan untuk mengetepikan dahulu kepentingan politik di mana pembangkang dan kerajaan perlu bersatu dalam mengatasi kesan bencana alam demi kebaikan rakyat.
Selain kemusnahan harta benda, John Ambrose berkata penduduk Sugud turut berhadapan dengan masalah kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik.

“Saya berterima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang turut hadir membantu dalam gotong-royong seperti Rela, pejabat daerah serta orang kampung ini sendiri…
“Terima kasih juga kepada Srikandi BERSATU serta rakan Komponen lain yang turut serta,” katanya.
John turut menjemput badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Penampang untuk tampil membantu.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Penampang Francis Chong.