Suspek Ditembak di Tangan, Anggota Polis Cedera di Paha Dalam Pergelutan di...

Suspek Ditembak di Tangan, Anggota Polis Cedera di Paha Dalam Pergelutan di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang anggota polis cedera selepas terkena tembakan ketika berlaku pergelutan semasa cubaan menahan seorang lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan di BaZhong Commercial Centre di sini, pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Superintenden Champin Piuh berkata, suspek yang dipercayai berusia lingkungan 30-an dan bertindak agresif ketika ditahan turut ditembak dan cedera di lokasi kejadian.

Beliau berkata, dua anggota polis yang menjalankan rondaan menahan sebuah Perodua Viva putih kira-kira jam 10.45 pagi di Jalan Persisiran Pantai sebelum seorang lelaki dalam kenderaan itu melarikan diri dengan meninggalkan kereta berkenaan dan berjaya ditahan di kawasan Bazhong Tawau Commercial Centre.

“Semasa tangkapan dibuat, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan.

“Dalam insiden itu, satu das tembakan dilepaskan daripada pistol milik anggota polis yang menyebabkan suspek cedera di tangan kiri, manakala seorang lagi anggota yang membantu turut terkena tembakan di paha kanan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa dengan ambulans ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati suspek memiliki kad pengenalan milik individu lain, selain pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan serbuk mencurigakan dipercayai syabu.

Klasifikasi kes masih belum ditentukan kerana laporan lanjut masih diterima.