Dadah Sintetik RM243 Juta Dirampas, Sindiket Antarabangsa Tumpas di Sabah

Dadah Sintetik RM243 Juta Dirampas, Sindiket Antarabangsa Tumpas di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah sintetik berskala besar menerusi Op Coleoptera dan Op Bayu 2 dengan jumlah rampasan serta sitaan harta dianggarkan RM243 juta.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata, operasi bersepadu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Sabah itu membuktikan komitmen berterusan PDRM mematahkan rangkaian dadah antarabangsa.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan akan memastikan sindiket ini dilumpuhkan sepenuhnya demi keselamatan negara,” tegasnya dalam sidang media khas pada Jumaat.

Menerusi Op Coleoptera, polis merampas enam kontena di Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang serta menahan lapan individu berusia 23 hingga 45 tahun.

“Rampasan melibatkan 3,043.5 kilogram methamphetamine, 102.5 kilogram ketamin, 90 kilogram pil ekstasi, empat kilogram cecair vape disyaki kokain dan 2.6 kilogram pil Erimin 5 dengan anggaran nilai RM174 juta.

“Sindiket dipercayai menggunakan laluan laut dan kontena logistik untuk pengedaran merentasi Laut China Selatan. Polis turut menyita kenderaan mewah, wang tunai dan barangan bernilai tinggi di bawah Akta Dadah Berbahaya,” jelasnya.

Dalam Op Bayu 2 di Penampang pada 5 Februari lalu, empat suspek ditahan dengan rampasan 111.3 kilogram syabu, 419.62 kilogram serbuk ekstasi, 6.787 kilogram pil ekstasi serta sejumlah kecil ketamin dan Erimin 5 bernilai RM69.66 juta.

Dadah itu dianggarkan mampu menampung kira-kira 339,000 penagih bagi sekali penggunaan.

“Kejayaan operasi adalah hasil kerjasama orang awam dan menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah dadah,” tambahnya.