Wanita Warga Emas Jatuh di Lereng Bukit Ketika Tebang Pokok

Wanita Warga Emas Jatuh di Lereng Bukit Ketika Tebang Pokok

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang wanita warga emas berusia 77 tahun cedera selepas terjatuh dari lereng bukit setinggi kira-kira dua meter ketika menebang pokok dalam kejadian di Kampung Noosob, Jalan Tuntuluk, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.54 petang itu, mangsa dilaporkan terjatuh ketika melakukan kerja menebang pokok sebelum bantuan kecemasan dihubungi bagi menyelamatkannya.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang yang diketuai PBK I Mohd Khairul Abdul Kohir dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.02 petang dan mendapati mangsa berada di kawasan lereng bukit serta mengalami kecederaan akibat terjatuh.

Pasukan bomba bertindak membawa mangsa turun menggunakan stretcher dan tangga sebelum menyerahkannya kepada anggota Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.28 petang selepas pasukan penyelamat memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.