James Ratib Buat Laporan Polis, Akaun Facebook Peribadi Digodam

James Ratib Buat Laporan Polis, Akaun Facebook Peribadi Digodam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib memaklumkan, akaun Facebook peribadinya telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab dan satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau berkata tindakan itu diambil bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

James turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah dan tidak akan meminta nombor akaun bank, nombor telefon, maklumat peribadi, kata laluan, kod pengesahan (OTP) atau sebarang bentuk bantuan kewangan melalui media sosial.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah dan tidak akan meminta nombor akaun bank, nombor telefon, maklumat peribadi, kata laluan, kod pengesahan (OTP) atau sebarang bentuk bantuan kewangan melalui media sosial,” katanya.

Beliau berkata, sebarang mesej, hantaran, komen atau komunikasi yang menggunakan nama, gambar atau identitinya bagi tujuan sedemikian adalah palsu dan tidak mendapat kebenaran daripadanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang cubaan penipuan yang menggunakan nama serta identitinya untuk memperdaya masyarakat.

James turut meminta orang ramai supaya mengabaikan dan melaporkan kepada pihak berkuasa atau saluran rasmi berkaitan sekiranya menerima mesej mencurigakan berhubung perkara tersebut.

Menurut beliau, semua maklumat rasmi berkaitan tugas dan urusannya sebagai Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi yang disahkan oleh pejabatnya.

Beliau turut menghargai kerjasama masyarakat dalam membantu membendung jenayah siber serta melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.