KOTA KINABALU: Sabah memperluaskan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) melalui pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu melibatkan hutan simpan komersial dan Tanah Kerajaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu menjadikan keluasan TPA di Sabah meningkat kepada 2.227 juta hektar atau kira-kira 30.06 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah negeri ini.
“Pencapaian ini bukan sahaja membolehkan sasaran 30 peratus kawasan TPA tercapai, malah menaikkan imej Sabah sebagai negeri yang mempunyai TPA terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perhutanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Jumaat. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata kepentingan hutan sebagai pelindung biodiversiti, penstabil iklim serta sumber rezeki rakyat tidak dapat dinafikan.
Beliau turut memuji usaha berterusan Jabatan Perhutanan dalam mencapai sasaran mewartakan 30 peratus kawasan negeri Sabah sebagai TPA.
Menurutnya, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan Jabatan Perhutanan untuk mewartakan beberapa lagi kawasan perlindungan penting di bawah Seksyen 5A, Enakmen Hutan 1968 pada tahun lalu.
“Ini menjadi petunjuk bahawa strategi yang digariskan melalui Dasar Hutan Sabah 2018 berupaya memandu pencapaian jabatan ke aras terbaik dalam usaha konservasi negeri.
“Perkara ini meletakkan Sabah di peta konservasi global, bukan sahaja dari aspek keluasan kawasan perlindungan, tetapi juga melalui usaha berterusan serta komitmen Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran polisi yang ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Jabatan Perhutanan Sabah telah mengutip sebanyak RM161 juta pada tahun lalu.
Daripada jumlah itu, RM92 juta atau 57 peratus adalah hasil royalti kayu balak.
“Pencapaian ini membuktikan sektor perhutanan masih kekal relevan di Sabah dan sehubungan itu, saya mahu jabatan memastikan kutipan hasil melalui sektor perhutanan dilaksanakan dengan telus dan berkomitmen,” katanya.
Hajiji turut menggesa Jabatan Perhutanan agar terus melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan serta kemahiran masyarakat mengenai kepentingan perlindungan kawasan hutan.
Beliau berkata usaha itu termasuk menyebarkan maklumat kepada semua lapisan masyarakat bagi membina komuniti yang mementingkan kelestarian hutan dan alam sekitar.
“Saya difahamkan pelbagai program seperti jerayawara, seminar, ekspedisi saintifik, program outreach serta persidangan antarabangsa seperti Heart of Borneo (HoB) telah dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji Jabatan Perhutanan Sabah atas kejayaan menerima Anugerah Pengurusan Sumber Manusia Terbaik 2025 yang disifatkan sebagai pencapaian membanggakan dan wajar dicontohi jabatan serta agensi lain.






