Perkhidmatan Tren LRT Kelana Jaya Mula Beroperasi Seperti Biasa Hari Ini

Perkhidmatan Tren LRT Kelana Jaya Mula Beroperasi Seperti Biasa Hari Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mula beroperasi seperti biasa seawal jam 6 pagi tetapi dengan hanya menggunakan satu landasan dan disokong oleh perkhidmatan bas perantara percuma.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan perkhidmatan berkenaan beroperasi dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu lain selain pengurangan kapasiti 50 peratus (50%) penumpang, susulan langkah lebih ketat kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Penumpang dijangka perlu menunggu lebih lama sedikit daripada biasa. Bagaimanapun kekerapan tren mungkin akan diubah suai mengikut keperluan semasa operasi,” menurut kenyataan itu.

Untuk melancarkan pergerakan penumpang pada waktu puncak pula, lima bas perantara dua tingkat disediakan secara percuma dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.

Perkhidmatan LRT laluan berkenaan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari setelah kerja pembersihan dan pemulihan termasuk proses sanitasi di Stesen KLCC dan kawasan sekitarnya selesai dijalankan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.

“Prasarana kesal dengan kejadian yang berlaku dan akan terus memantau perkembangan penumpang yang terlibat dalam insiden semalam serta akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.

“Pengguna perkhidmatan Rapid KL kini boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah menggunakan aplikasi ‘PULSE’ yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store,” menurut kenyataan itu lagi.

Malam tadi, dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 8.45 malam, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah, manakala 166 penumpang dilaporkan mengalami cedera ringan dalam perlanggaran dua tren LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya.

 

Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dilaporkan berkata tren dari Gombak membawa 213 penumpang, manakala tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah…

Kes disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010.

Semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain yang berhampiran.

Dalam pada masa yang sama, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu hantaran pada laman media sosial Facebook memaklumkan beliau akan mengarahkan siasatan penuh dilakukan untuk mengenal pasti punca kemalangan membabitkan perlanggaran dua tren LRT berkenaan.

Sumber foto dipetik daripada Facebook rasmi Muhyiddin Yassin…