Kanak-Kanak Dua Tahun Mengadu Sakit, Dicabul Tukang Masak Warga Asing

Kanak-Kanak Dua Tahun Mengadu Sakit, Dicabul Tukang Masak Warga Asing

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disyaki dicabul oleh seorang lelaki warga asing ketika bermain di sekitar Medan Selera Pandan Indah, dalam kejadian Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail berkata, ibu kepada kanak-kanak itu membuat laporan berhubung kejadian sejurus selepas anaknya mengadu sakit selepas insiden. 

“Mangsa memaklumkan, seorang lelaki telah membuat sesuatu tidak senonoh kepadanya ketika bermain di kawasan sekitar.

“Setelah diperiksa, pegawai perubatan mengesahkan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Susulan laporan tersebut, pihak polis bertindak menahan seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun di sekitar Pandan Indah pada Khamis.

“Suspek yang bekerja sebagai tukang masak di salah sebuah gerai didapati ‘bersih’ daripada sebarang rekod jenayah.

“Perintah tahanan reman ke atas suspek dibenarkan selama lima hari iaitu bermula Jumaat lepas hingga Rabu ini,” jelasnya.

Tambah Azam, kes disiasat bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan akan dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.