PAITAN: Festival Mega Food Sabahan 12.0 bukan sekadar menyajikan pelbagai pilihan makanan dan hiburan, malah menjadi platform kepada puluhan usahawan serta peniaga untuk memperluaskan pasaran, meningkatkan jualan dan merancakkan aktiviti ekonomi di Paitan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, penganjuran festival berkenaan membuka peluang kepada usahawan memasarkan produk kepada lebih ramai pelanggan, khususnya masyarakat di kawasan Paitan dan Sugut.
“Ini bukan sahaja memberikan peluang kepada peniaga untuk memasarkan produk mereka, tetapi pada masa sama menyediakan satu bentuk hiburan dan aktiviti santai yang dapat dinikmati oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang, sempena perasmian Festival Mega Food Sabahan 12.0 di Dewan KDCA Paitan, di sini pada Ahad.
James berkata, festival itu mempunyai daya tarikan tersendiri apabila setiap siri jelajahnya menghimpunkan puluhan vendor dan peniaga yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman viral serta barangan jualan.
Menurutnya, pemilihan Paitan sebagai lokasi penganjuran turut memberi peluang kepada masyarakat luar bandar menikmati program berskala lebih besar yang menggabungkan aktiviti perniagaan dan hiburan dalam satu lokasi.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong inisiatif yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk program yang membuka ruang kepada usahawan dan peniaga untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas.
“Dalam masa sama, masyarakat juga mendapat manfaat kerana dapat menikmati pelbagai pilihan makanan, minuman dan jualan dalam suasana yang meriah,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu penting bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan daripada menikmati aktiviti yang mampu merancakkan ekonomi dan kehidupan sosial setempat.
James turut menggalakkan usahawan memanfaatkan perkembangan teknologi digital dan media sosial untuk mengembangkan perniagaan serta menembusi pasaran lebih luas.
Katanya, peniaga kini tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada jualan secara fizikal kerana platform digital boleh dimanfaatkan untuk membina jenama, mempromosikan produk dan menarik pelanggan baharu.
“Ramai usahawan kini menggunakan media sosial sebagai medium untuk mempromosikan produk dan membina pelanggan. Ini menunjukkan teknologi mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan, khususnya kepada golongan muda,” katanya.
Dalam pada itu, James menyeru masyarakat supaya terus menyokong peniaga dan usahawan tempatan sebagai usaha membantu perkembangan sektor perniagaan serta ekonomi setempat.
Beliau berharap Mega Food Sabahan dapat terus dikembangkan dan dijadikan acara tahunan yang dibawa ke lebih banyak daerah di Sabah.
“Kita mahu rakyat di setiap daerah berpeluang menikmati kemeriahan festival ini, manakala para vendor dan peniaga pula mendapat platform untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan,” katanya.
Festival Mega Food Sabahan 12.0 turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi terkenal, Lan Solo, selain pelbagai reruai makanan, minuman dan jualan.
James turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, vendor, peniaga, penaja, sukarelawan serta semua pihak yang menjayakan festival berkenaan.






