KUCHING, SARAWAK – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak memerlukan 30 unit kenderaan ambulans pacuan empat roda (4WD) untuk bergerak ke kawasan pedalaman seperti di Belaga, Song, Long Busang, Baram atau Limbang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata aset seperti itu sangat diperlukan oleh APM Sarawak susulan negeri itu dijangka berdepan bencana serta banjir pada awal tahun depan mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Topografi dan rupa bumi kawasan pedalaman berlainan dengan Semenanjung dan anggota APM terpaksa menempuh perjalanan mencabar di kawasan pedalaman negeri ini untuk membawa pesakit ke hospital,” katanya.
Justeru, katanya, Pengarah APM Sarawak, Abdul Wahab Rahim telah diminta untuk menyediakan nota permohonan aset terbabit bagi disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pejabat APM Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, kelmarin.
Selain keperluan logistik berkenaan, katanya, negeri itu juga memerlukan sebuah dewan latihan khas untuk anggota APM sebagai usaha bagi menambah baik kebolehan dan kemahiran untuk membantu dan menyelamatkan mangsa yang terjejas dengan bencana.
“Perkara ini akan dimohon kepada kerajaan persekutuan untuk menyediakan peruntukan bagi membina dewan latihan ini,” katanya.
– BERNAMA