Malaysia Fair in Seoul Buka Peluang Produk Sabah Tembusi Pasaran Korea Selatan

Malaysia Fair in Seoul Buka Peluang Produk Sabah Tembusi Pasaran Korea Selatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penganjuran Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026 bakal membuka peluang lebih luas kepada usahawan dan pemain industri tempatan khusus dari Sabah untuk mempromosikan produk serta menembusi pasaran Korea Selatan menerusi platform perdagangan, pelancongan, pendidikan dan kebudayaan yang akan berlangsung pada 7 hingga 9 November depan.

Pengarah Urusan Fazbuzz Events & Media Sdn Bhd, Fazura Azima Ag Sha selaku penganjur MFIS berkata, pemilihan Seoul sebagai lokasi penganjuran turut memberi kelebihan kepada Sabah berikutan wujudnya penerbangan terus antara Kota Kinabalu dan Incheon yang memudahkan urusan perdagangan serta pelancongan.

Beliau berkata, Malaysia Fair in Seoul merupakan platform berbilang sektor yang diwujudkan bagi memperkukuh hubungan perdagangan, pelancongan, kebudayaan, inovasi dan pendidikan tinggi antara Malaysia dan Korea Selatan.

“Malaysia Fair in Seoul bukan sekadar pameran barangan pengguna, tetapi sebuah platform strategik yang merapatkan hubungan perniagaan dan budaya antara Malaysia dan Korea Selatan.

“Kami menjemput seluruh warga perniagaan di Malaysia, termasuk Sabah, memanfaatkan peluang ini untuk mempromosikan produk mereka dan menembusi pasaran global di Korea Selatan,” katanya pada sidang media pelancaran Malaysia Fair in Seoul di sini, hari ini.

Menurut beliau, acara itu diadakan bersempena sambutan Visit Malaysia 2026 dan akan berlangsung di Dongdaemun Plaza, Seoul pada 7 dan 8 November, sebelum diteruskan dengan sesi padanan perniagaan (B2B) pada 9 November.

Katanya, penganjuran itu memberi ruang kepada syarikat Malaysia bukan sahaja menjual produk secara terus kepada pengguna, malah menjalinkan kerjasama dengan pemborong dan rangkaian pasar raya di Korea Selatan.

Fazura berkata, penyertaan bagi pameran itu dihadkan kepada sekitar 46 hingga 50 pempamer, manakala setakat ini kurang daripada 10 syarikat telah mengesahkan penyertaan sejak pelancarannya pada Jun lalu.

Beliau berkata, MFIS memberi tumpuan kepada pelbagai sektor termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian, pelancongan, pendidikan tinggi serta produk halal yang kini mencatat permintaan semakin meningkat di Korea Selatan.

“Kami bukan hanya mempromosikan pelancongan, malah menggalakkan penyertaan sektor pertanian, PKS, pendidikan dan produk halal. Malaysia juga semakin dikenali sebagai destinasi pendidikan yang selamat dan berbaloi, selain mempunyai potensi besar dalam sektor edu-tourism,” katanya.

Mengulas pemilihan Seoul sebagai lokasi penganjuran, beliau berkata rakyat Korea Selatan mempunyai minat tinggi terhadap pelancongan, makanan dan budaya Malaysia, sekali gus menjadikan negara itu pasaran yang berpotensi untuk diterokai.

Beliau turut menjelaskan bahawa lokasi penganjuran di Dongdaemun Plaza menerima aliran lebih 20,000 pengunjung setiap hari, sekali gus memberi pendedahan tinggi kepada produk dan perkhidmatan Malaysia.

Dalam pada itu, Fazura berkata, pihak penganjur turut mendapat sokongan daripada Kedutaan Malaysia di Seoul, Tourism Malaysia Seoul dan MATRADE Seoul, selain dibantu pengurus lapangan di Korea Selatan bagi menguruskan logistik serta komunikasi dengan rakan perniagaan tempatan.

Katanya, Tourism Malaysia Seoul dan MATRADE Seoul juga sedang menyelaras penyertaan syarikat-syarikat utama Korea Selatan bagi sesi padanan perniagaan yang dijadual berlangsung pada November nanti, khususnya melibatkan rangkaian pasar raya yang berminat mendapatkan produk halal dari Malaysia.

Sesiapa yang ingin menyertai program ini, masih dialu-alukan dengan mengunjungi website rasmi penganjur https://malaysiafairseoul.com/ dan untuk maklumat lanjut boleh melayari sosial media di talian berikut:

https://linktr.ee/myfairseoul?utm_source=linktree_profile_share&ltsid=d8d41bb6-5e39-4b44-87dc-41bd225974e7