KOTA KINABALU: Umat Islam di Sabah diseru supaya terus menghayati dan memartabatkan al-Quran sebagai asas pembinaan umat yang progresif, makmur dan sejahtera.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran merupakan antara pendekatan strategik kerajaan negeri dalam usaha mengajak umat Islam untuk sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
Beliau berkata, penganjuran berterusan majlis keagamaan itu membuktikan iltizam kerajaan dalam memastikan pembangunan spiritual dan fizikal berjalan seiring, sekali gus menyeimbangkan urusan duniawi dan ukhrawi.
“Acara tahunan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri ini adalah mukadimah kepada langkah seterusnya program bercorak mendaulatkan Islam di awal fasa penggal kedua pemerintahan Kerajaan Negeri.
“Kelangsungan penganjuran majlis ini bukan sekadar meneruskan tradisi keagamaan tahunan, tetapi mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam menjulang syiar Islam sebagai agama rasmi negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1447H/2026M di Wisma MUIS, di sini, pada Jumaat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Tun Musa Aman. Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Tussin serta isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Hajiji berkata, majlis berkenaan turut menjadi platform melahirkan golongan qari, qariah, hafiz dan hafizah yang bukan sahaja cemerlang dalam bacaan dan hafazan, malah menjadi contoh teladan kepada masyarakat.
“Kerajaan komited memudah cara pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan agama Islam, institusi tahfiz serta program penghayatan Islam sebagai langkah berterusan membina masyarakat berilmu, berakhlak mulia dan progresif,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri turut menekankan aspek Kelestarian Hijau sebagai antara teras penting dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Menurutnya, Teras J dalam pelan tersebut merangkumi Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan negeri dan rakyat secara berterusan.
Beliau berkata, Surah al-Qasas ayat 77 turut mengingatkan umat Islam agar tidak melakukan kerosakan di muka bumi, yang menjadi asas kepada penekanan kerajaan terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar.
Sehubungan itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM672.05 juta bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindak balas terhadap perubahan iklim, dengan komitmen untuk mencapai 30 peratus kawasan perlindungan sepenuhnya (Total Protected Areas) menjelang tahun 2030.






