SEMPORNA: Sebuah dewan tidak kekal roboh lalu menghempap dua rumah di Kampung Air, Semporna, malam semalam, namun semua penghuni terselamat tanpa kecederaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata enam anggota dari BBP Atas Air Semporna digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 8.49 malam.
Dewan berkeluasan kira-kira 60 x 100 kaki itu runtuh ke atas dua rumah yang didiami enam penghuni membabitkan empat dewasa dan dua kanak-kanak.
“Kesemua mangsa sempat keluar sebelum ketibaan bomba dan dipindahkan ke rumah keluarga berhampiran,” katanya.
Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan keselamatan serta mengalihkan serpihan sebelum operasi ditamatkan pada 10.03 malam. Tiada mangsa dilaporkan cedera.






