KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melaksanakan program pemindahan 218 tahanan warganegara Indonesia ke negara asal mereka pada Selasa.
Mereka termasuk 10 kanak-kanak yang diiringi oleh ibu bapa masing-masing, melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan menggunakan kapal Francis Express dan Purnama Express.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua tahanan telah selesai menjalani hukuman mengikut undang-undang dan mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah, membolehkan mereka mengikuti proses pemindahan secara selamat dan teratur.
Beliau menambah bahawa sehingga kini, seramai 2,375 warganegara Indonesia telah dipindahkan, menyumbang kepada jumlah keseluruhan 10,431 tahanan asing yang kembali ke negara asal dari Sabah.
“Jabatan Imigresen menekankan tindakan tegas terhadap majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara, dan sebatan bagi kesalahan bersubahat,” tegasnya.






