KOTA KINABALU: Bulatan Ikan Marlin atau lebih dikenali sebagai ‘Bulatan Todak’ merupakan mercu tanda ikonik yang terdapat di pusat Bandaraya Kota Kinabalu dan sering menjadi tarikan umum, termasuk para pelancong antarabangsa yang tidak ketinggalan untuk merakam gambar kenangan.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan, arca asal Ikan Marlin ini hampir mencecah usia 27 tahun, sejak ia dibina pada tahun 1998, dan kini mengalami kerosakan melibatkan struktur dan kemasan.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas arca ini mendapati bahawa sebahagian daripada besi yang digunakan sudah mulai reput dengan cat yang semakin pudar, menandakan sudah tiba masanya ia perlu dinaik taraf.
“DBKK melalui Jabatan Landskap telah mengambil inisiatif untuk menaik taraf Bulatan Ikan Marlin ini agar ia kekal menjadi identiti kebanggaan masyarakat, selain menjadi salah satu tarikan pelancong di Bandaraya Kota Kinabalu dan Sabah, secara amnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sabah merupakan negeri maritim dengan kegiatan ekonomi yang banyak bergantung kepada hasil laut. Pada masa dahulu, ikan Marlin yang juga dikenali sebagai ikan mersuji atau nama saintifiknya ‘Makaira Nigricans’ dahulu banyak terdapat di pesisir laut Kota Kinabalu yang turut menjadi sumber pendapatan penduduk.
Kerja-kerja menaik taraf bulatan ikonik ini melibatkan pembinaan arca Ikan Marlin baharu, pembinaan platform, pemasangan ‘bollard’ dan lampu hiasan, mengecat kerb jalan serta penggantian landskap dengan penanaman tumbuhan renek berbunga di sekeliling bulatan.
Projek penaiktarafan Bulatan Ikan Marlin ini telah siap sepenuhnya pada 30 April 2025 dan simbolik ringkas pembukaan bungkusan kain yang membaluti arca telah disempurnakan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, sambil disaksikan oleh barisan Pengurusan Tinggi DBKK, pada hari yang sama.
Seiring dengan pembangunan pesat Bandaraya Kota Kinabalu, DBKK telah membina semula arca Ikan Marlin yang baharu tanpa terlalu mengubah daripada reka bentuk asal, yang sudah cukup sinonim dalam kalangan masyarakat dan pelancong.
Antara pembaharuan pada arca Ikan Marlin baharu adalah saiz yang lebih besar, tahan lama dan menarik. Ini bertujuan untuk memperkemas reka bentuk arca selain memperkukuh daya tarikan di sekitar kawasan tersebut.
Pelan reka bentuk dan lukisan binaan arca Ikan Marlin baharu telah disediakan oleh Jabatan Landskap, DBKK melalui penelitian terhadap aspek saiz, rupa, bentuk dan warna sebenar ikan Marlin, selain turut mengambil kira aspek keselamatan, kesesuaian dan ketahanan arca di bulatan tersebut.
Manakala, arca ikan Marlin telah dibina oleh bakat tempatan, Encik Houng Howe Ann, yang juga merupakan pereka dan pembina arca asal ikan Marlin.
Beliau telah mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan arca ini dengan melalui proses yang rumit namun penuh ketelitian.
Pembinaan arca Ikan Marlin baharu melibatkan pembinaan struktur arca menggunakan besi tahan karat yang bertujuan untuk menjamin ketahanan rintangan cuaca dengan mengambil kira kedudukannya bedekatan dengan laut.
Selain itu, pembinaan arca ini juga melibatkan proses yang kompleks dan rumit memandangkan arca baharu ini bersaiz lebih besar, iaitu berukuran 6.5 meter (tinggi) x 6 meter (lebar).
Orang ramai diajak untuk menghargai tarikan Bulatan Ikan Marlin ini dengan tidak melakukan sebarang vandalisme atau mengotorkan kawasan sekitar arca sehingga boleh menjejaskan imej Bandaraya Kota Kinabalu.