Hampir 4,000 Pengunjung Hadir ke Karnival Kita Madani X PMR 2025 di...

Hampir 4,000 Pengunjung Hadir ke Karnival Kita Madani X PMR 2025 di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seramai hampir 4,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat telah hadir memeriahkan Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang berlangsung selamat tiga hari di Kampung Batu Payung.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menzahirkan penghargaan atas sambutan luar biasa komuniti setempat terhadap usaha memperkukuh perkhidmatan kerajaan melalui pendekatan turun padang.

“Pelbagai agensi kerajaan membuka booth bagi menawarkan khidmat secara langsung kepada rakyat, termasuk maklumat perkhidmatan awam, pendaftaran bantuan, dan konsultasi terus bersama pegawai bertugas,” katanya dalam satu kenyataan semalam selepas menyempurnakan Karnival tersebut di sini, semalam.

Turut memeriahkan acara ialah artis tempatan terkenal, Bella Astillah, yang mendendangkan beberapa buah lagu sebagai hiburan kepada para pengunjung.

Persembahan turut diserikan oleh artis Jabatan Penerangan Sabah dari Kota Kinabalu, yang berjaya menarik perhatian ramai.

“Selain itu, gerai makanan dan minuman yang dibuka sepanjang program memberikan peluang keemasan kepada peniaga tempatan menjana pendapatan, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa ekonomi komuniti.

“Jualan Rahmah juga mendapat sambutan luar biasa dengan tawaran harga barangan runcit yang sangat berpatutan.

“Semoga semangat sebegini dapat terus menyatupadukan komuniti dan menjalin hubungan erat antara rakyat dan agensi kerajaan, khususnya Jabatan Penerangan Sabah,” katanya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program ini, terutamanya Komuniti MADANI Kampung Batu Payung dan Jabatan Penerangan, atas usaha murni membina sebuah masyarakat yang makmur, inklusif dan sejahtera.