Penunggang Foodpanda Himpun Di Ibu Pejabat Protes Kadar Bayaran

Penunggang Foodpanda Himpun Di Ibu Pejabat Protes Kadar Bayaran

0
SHARE
Foodpanda
Lebih 100 penghantar makanan Foodpanda berhimpun di ibu pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur semalam bagi membantah bayaran untuk mereka yang disifatkan terlalu rendah ( Sumber Foto: MalaysiaKini)

KUALA LUMPUR – Lebih 100 penghantar makanan Foodpanda berhimpun di ibu pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur semalam bagi membantah bayaran untuk mereka yang disifatkan terlalu rendah, tidak memadai dengan jarak perjalanan yang perlu ditempuhi mereka.

Memetik sumber MalaysiaKini, delain itu, mereka menyuarakan rasa tidak puas hati apabila zon penghantaran yang mereka diluaskan, sekali gus menambah jarak perjalanan mereka.

Turut hadir adalah Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia Mohd Sharkar Shamsudin yang mewakili mereka untuk menyerahkan memorandum serta berbincang dengan pihak syarikat.

Menurut Sharkar, dia berbincang dengan Pengarah Operasi Foodpanda, Shubhan Saram yang menyatakan komitmen untuk mengkaji semula sistem mereka, dengan maklum balas akan diberi dalam tempoh sebulan.

Katanya lagi, Foodpanda turut berkata mereka akan melakukan memperbaiki kelemahan dalam sistem sekarang, selain jaminan gaji RM10 hingga RM12 sejam kepada penghantar.

Sharkar turut menggesa penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig disegerakan bagi menjaga kebajikan golongan pekerja tidak formal.

“Ini bagi memastikan harga, kebajikan, insurans dan ada skim persaraan.

“Walaupun mereka pekerja yang tidak mempunyai majikan, mereka juga manusia,” jelasnya.

Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata laporan interim pertama kajian penubuhan suruhanjaya itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 5 Jun.

Dia berkata, laporan itu disediakan dengan kerjasama Universiti Malaya dan perincian lanjut akan dibuat sebelum laporan dimuktamadkan pada Ogos ini.

Sementara itu, seorang penghantar yang menyertai himpunan itu, Muhammad Sabri, berkongsi kepada media mengenai isu yang sering dihadapi oleh mereka.

“Yang jadi masalah apabila daripada Subang ke Rimbayu dibayar dengan harga RM13, rasa macam tak berbaloi,” katanya.

Selain itu, dia juga membangkitkan isu perluasan zon penghantaran yang memberi kesan kepada pertambahan jarak ke destinasi yang dituju.

“Kalau ikutkan (perluasan) zon ini dah melangkau ke tiga tempat, dari Subang ke Puchong seterusnya ke Cyberjaya dan Sepang,” katanya lagi.

Berkenaan perkara itu, Sharkar berkata perluasan zon itu boleh menyebabkan penghantar digantung kerja.

“Apabila kawasan menjadi terlalu besar, penghantar terpaksa menolak (pesanan) kerana upah tidak setimpal.

“Selepas beberapa kali tolak, mereka akan digantung kerja,” katanya.