Air Zam Zam Ditapis Menggunakan Sistem Pensterilan Canggih

Air Zam Zam Ditapis Menggunakan Sistem Pensterilan Canggih

0
SHARE

RIYADH, ARAB SAUDI – Air Zam Zam ditapis menggunakan alat dilengkapi kemajuan saintifik terkini dalam bidang pensterilan, kata Presiden Umum bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci.

Menurut laporan Arab News, bagi memastikan kualiti air Zam Zam, ia melalui sistem pensterilan canggih yang menggunakan sinar ultraviolet untuk membunuh bakteria dan virus, sekali gus memastikan tahap pensterilan yang tinggi.

Satu kilowatt tenaga elektrik mampu menjana pensterilan sebanyak 12,000 gelen air Zam Zam, dan memastikan warna, rasa serta bau yang konsisten.

Memetik laporan BH Online, pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan bahawa satu rangkaian langkah diguna pakai yang bermula daripada air itu dipam dari telaga Zam Zam dan dipindahkan ke tangki tertutup di mana ia disimpan sehingga melalui proses pensterilan serta dipindahkan ke Masjidil Haram bagi memastikan keselamatan air tersebut.

Sebuah pasukan pakar memantau semua peringkat proses berkenaan.

Pihak berkuasa berkata, mereka mengedarkan 200,000 botol air Zam Zam sehari kepada jemaah di Masjidil Haram, Makkah.

Selain itu, mereka turut mengumumkan satu platform interaktif sudah dilancar untuk memberikan maklumat mengenai Ramadan, termasuk masa, hadis, kuliah di Masjidil Haram, al-Quran yang lengkap, urusan umrah, jadual solat tarawih dan soalan lazim.