SHAH ALAM, SELANGOR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kerajaan dan tiga individu membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta kepada keluarga Altantuya Shaariibuu berhubung kematiannya pada 2006.
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu semasa prosiding dalam talian pagi ini selepas mendapati keluarga Altantuya berjaya membuktikan dakwaan mereka mengenai imbangan kebarangkalian terhadap kerajaan, penganalisis politik Razak Baginda, dan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.
Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa, dan anak lelaki Altantuya Mungunshagai memfailkan saman itu, mendakwa terdapat konspirasi yang menyelubungi pembunuhannya.
Altantuya ditembak di kepala pada 2006 di sebuah hutan di Puncak Alam. Mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan letupan.
Azilah dan Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan Altantuya.
Razak, bekas pembantu kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, didakwa bersubahat dengan kedua-dua mereka, tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil pembelaannya.