KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menahan sebuah bot pam yang melakukan aktiviti mengebom ikan dikedudukan lebih kurang 0.10 batu nautika selatan Pulau Gaya, malam semalam.
Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berkata bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah mengesan sebuah bot pam bewarna jingga dalam keadaan mencurigakan dan bertindak menahan bot terbabit yang disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan di sekitar perairan selatan Pulau Gaya.
“Ketika bot ronda maritim cuba menghampiri bot tersebut, bot pam itu telah memecut laju ke arah pantai yang berdekatan dan setibanya di kawasan perairan cetek, kelihatan dua orang lelaki dewasa telah bertindak terjun ke laut meninggalkan bot mereka.
“Hasil pemeriksaan lanjut keatas bot tersebut menemui peralatan menyelam tradisional serta bom ikan.
“Bot pam terbabit ditahan dan dibawa masuk ke Jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Antara barang yang dirampas sebuah bot kayu berwarna jingga, sebuah enjin bot jenama Suzuki, sebuah kompressor, satu gulung hos menyelam dan sebotol bom ikan.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).
“Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda dibawah Seksyen 25 (a) jika vesel yang berkenaan itu ialah vesel penangkapan asing atau oarang berkenaan itu ialah rakyat negara asing, dikenakan denda tidak melebihienam juta ringgit setiap sorang dalam hal pemunya atau nakhoda, dan enam ratus ribu dalam hal tiap-tiap kru.
“Manakala denda yang boleh dikenakan untuk warganegara di bawah Seksyen 25 (b) tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
“Komuniti maritim terutamanya di negeri Sabah diingatkan agar tidak melakukan aktiviti bom ikan ini kerana aktiviti ini bukan sahaja salah disisi undang-undang laut negara malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga ianya membahayakan nyawa si perlaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam,” tegasnya.