Diana Danielle Bangkit Dengan Lagu ‘Raja Dusta’, Sindiran Berani Penuh Semangat dan...

Diana Danielle Bangkit Dengan Lagu ‘Raja Dusta’, Sindiran Berani Penuh Semangat dan Gembira

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon berbakat besar, Diana Danielle, kembali mewarnai dunia muzik dengan melancarkan single terbaharunya berjudul “Raja Dusta”, sebuah karya penuh keberanian dan sindiran nakal yang memberi ruang untuk wanita dan lelaki meraikan kebebasan selepas melepasi hubungan toksik.

Diana berkata, lagu ini adalah cerminan kepada kekuatan wanita yang sering terperangkap dalam budaya misoginis yang menjadikan mereka mangsa penderitaan secara senyap.

“Saya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih rancak dan menyeronokkan, sebagai satu sindiran terhadap situasi saya sekarang. Walaupun saya boleh kaitkan lagu ini dengan pengalaman peribadi, ia bukan ditujukan kepada sesiapa secara spesifik.

“Lagu ini mewakili apa yang ramai wanita alami dalam perhubungan seperti janji palsu, harapan yang dimanipulasi, dan akhirnya keberanian untuk bebaskan diri,” katanya.

Menurut Diana yang juga penyanyi lagu Bersama Dengan Rindu, lagu “Raja Dusta” adalah untuk semua, walaupun lirik lagu ini dibawakan dari perspektif seorang wanita.

Tambah Diana, dia ingin menekankan bahawa mesej lagu ini adalah bersifat universal dan boleh dikaitkan oleh sesiapa sahaja.

“Saya mahu pendengar menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Ia mengenai keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri. Kita semua pernah berada dalam
hubungan yang berat sebelah.

“Jadi, lagu ini adalah peringatan supaya jangan tertipu dengan kata-kata manis jika perbuatan tidak seiring,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu ini, Diana berkata, proses rakaman “Raja Dusta” berlangsung dengan penuh keseronokan walaupun ini adalah kali pertama dia bekerjasama dengan penerbit John Jeeves.

Dalam pada itu, Diana berkongsi yang mana sepanjang penghasilan lagu dan video muzik ini, dia menerima sokongan tidak berbelah bagi daripada pasukannya termasuk pihak pengurusan Universal Music, pengarah muzik video, para pelakon, kru produksi serta penari latar.

“Saya agak kekok pada mulanya sebab sudah dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu. Keyakinan saya sedikit goyah, tetapi semua orang di sekeliling sangat menyokong dan buat saya
rasa selesa. Saya harap ini menjadi permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam bidang muzik,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, Rakaman video muzik “Raja Dusta” turut menjadi pengalaman menarik buat dirinya apabila ia membabitkan tarian, pelbagai lokasi dan penggambaran yang panjang di Palm
Garden Hotel, Putrajaya.

“Saya ulang banyak kali perkataan ‘seronok’ sebab memang itulah yang saya rasa! Walaupun mencabar dan di luar zon selesa saya, saya tahu saya perlu biasakan diri dengan rentak ini,” katanya.

Diana berharap lagu ini bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi peneman buat mereka yang sedang atau pernah melalui detik sukar dalam hubungan.

“Saya mahu orang menyanyi lagu ini dengan kuat dalam kereta atau semasa mandi. Muzik adalah satu bentuk perayaan dan saya harap sesiapa yang telah keluar daripada hubungan yang menyakitkan dapat meraikan kebebasan mereka dan menghargai keberanian diri sendiri,” katanya.

“Raja Dusta” boleh didapati di semua platform penstriman digital sejak 18 April 2025.

 

2 / 2

109%