KOTA KINABALU: Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, tampil mempertahankan peranan wanita dalam arena politik Sabah dan menzahirkan rasa kecewa terhadap serangan berterusan terhadap pemimpin wanita, terutamanya dalam platform media sosial.
Dalam wawancara yang diadakan baru-baru ini, beliau secara khusus memuji keberanian ADUN wanita GRS Kunak Datuk Norzalinah Arif atas keberanian menyuarakan isu sensitif dalam Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
“Dia berani bercakap, walaupun bilangan wanita dalam Dewan itu sangat sedikit dan dikelilingi kaum lelaki.
”Kalau bukan kita yang mempertahankan hak wanita, siapa lagi? Jangan lupa, 50% penduduk negara kita ini adalah wanita,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tindakan Norazlinah memperjuangkan maruah wanita merupakan satu contoh sebenar pemberdayaan wanita, selari dengan matlamat kerajaan negeri untuk memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan masyarakat.
Menurut Azizah, tanggungjawab membela kaum wanita bukan terletak di bahu wanita semata-mata.
“Orang lelaki pun kena menjaga juga, sebab ibunya adalah wanita, isterinya wanita, dan anak perempuannya juga wanita. Takkan kita biar mereka diperlakukan sesuka hati?” tegasnya.
Beliau turut menyentuh gelombang sentimen negatif yang tular berkenaan wanita dalam GRS yang menurutnya sering kali disalah tafsir dan dijadikan bahan serangan politik.
Azizah berkata, sejak pentadbiran GRS mengambil alih kerajaan negeri, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk memperkasakan wanita.
Antaranya termasuk peningkatan peruntukan tahunan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), pelaksanaan program latihan keusahawanan, serta penglibatan wanita dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jawatankuasa strategik.
“Kita lihat ramai wanita dilantik ke jawatan penting seperti pengerusi atau timbalan pengerusi di GLC. Ini satu pengiktirafan kepada kemampuan wanita.
”Kita bukan mahu ambil alih peranan lelaki, kita hanya mahu pastikan suara wanita diambil kira,” katanya.
Beliau menambah, penglibatan wanita dalam sektor perniagaan kecil juga semakin meningkat, dan peranan mereka dalam menjana ekonomi keluarga memberi impak langsung kepada kesejahteraan anak-anak dan generasi masa depan.
“Bila seorang ibu terlibat dalam perniagaan kecil, seluruh keluarganya mendapat manfaat. Anak-anak dapat terus bersekolah, masa depan mereka lebih terjamin,” katanya.
Azizah turut menyarankan agar semua pihak tidak sekadar menyerang satu sama lain dalam politik, tetapi bersama membina negeri.
“Kalau betul kita sayang Sabah dan rakyatnya, bekerjasamalah. Bila diberi peluang, buatlah yang terbaik. Bukan asyik serang untuk rebut jawatan,” katanya sinis, merujuk kepada pemimpin yang pernah memegang jawatan namun tidak mengambil peluang untuk membantu rakyat.
Azizah, ditemui pada rumah terbuka hari rayanya baru-baru ini menyeru agar lebih ramai pemimpin muda wanita diberi peluang dan platform untuk menyerlah.
“30 peratus bukanlah angka besar. Tapi cukup untuk pastikan perspektif wanita dimasukkan dalam dasar dan keputusan kerajaan,” katanya.