14 Anggota Polis Cemas Terperangkap Dalam Lif

14 Anggota Polis Cemas Terperangkap Dalam Lif

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Empat belas anggota polis yang ditugaskan mengawal keadaan keselamatan ketika sebutan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini, terperangkap selama 20 minit di dalam lif mahkamah berkenaan.

Memetik laporan Bernama dan Utusan Online, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, semua anggota yang terperangkap itu merupakan mereka yang terlibat dalam ‘Op Prank’ bagi mengawal keadaan mahkamah.

Katanya, akibat kejadian itu, seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 41 tahun dari Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pengsan.

“Kita menghubungi pihak hospital dan anggota terbabit telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut manakala, anggota lain selamat dan menyambung tugas mereka seperti biasa.

“Kesemua mereka memulakan tugas sejak pukul 6 pagi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.08 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke tempat kejadian.

Jelasnya, bagi menyelamatkan semua mangsa, pasukan keselamatan menggunakan alat pengumpit bagi membuka pintu lif.

“Sejurus menerima panggilan, kita menghantar lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam ke sana bagi membantu membuka pintu lif tersebut yang mengambil masa kira-kira 10 minit,” katanya.