
KOTA KINABALU, SABAH – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sabah buat julung kalinya menerbitkan Laporan Produktiviti Negeri Sabah 2022 yang dilancarkan di Shangri-La Tanjung Aru, Sabah pada Jumaat semalam.
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Dr Ahemad Sade, Program Sabah Produktif merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama MPC untuk menjadikan negeri Sabah sebagai negeri yang membangun secara produktif demi peningkatan potensi negeri Sabah sebagai destinasi mesra pelabur, perniagaan yang kondusif dan tadbir urus yang cekap.
“Prestasi ekonomi Sabah sepanjang tempoh 2006 hingga 2022 berkembang secara sederhana pada kadar 3.4 peratus setahun berbanding Malaysia yang tumbuh pada kadar 4.1 peratus.
“Pertumbuhan produktiviti keseluruhan Sabah juga berada pada paras sederhana menguncup kepada 0.5 peratus setahun berbanding purata nasional kesan daripada pandemik COVID-19, ini memerlukan intervensi berteraskan produktiviti bagi mempertingkat potensi pengembangan aktiviti ekonomi negeri,” katanya.
Katanya, pendekatan perancangan dan pembangunan yang bersandarkan kepada andaian ‘one size fits all’ tidak selalunya berfungsi pada peringkat negeri.
Perbezaan dalam struktur ekonomi, keunikan faktor pengeluaran dan magnitud kesalingbergantungan sektor ekonomi menjadi keperluan kepada penilaian spesifik produktiviti di peringkat negeri Sabah.
“Sektor ekonomi secara keseluruhannya mencatatkan pertumbuhan produktiviti yang positif kecuali sektor perlombongan dan pengkuarian. Sektor pertanian menyumbang sebahagian besar kepada produktiviti Sabah sepanjang tempoh 2016 hingga 2019 dengan catatan purata pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus setahun,” kata beliau.
Ujarnya lagi, selaras dengan misi dan hasrat Kerajaan Negeri Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, beliau yakin MPC mampu menyokong Hala Tuju Strategik Perancangan Negeri Sabah yang meliputi tiga sektor utama.
“Kerajaan negeri Sabah komited untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing kerana ianya penting dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi baru seperti ekonomi hijau dan ekonomi digital agar pemain industri serta komuniti dapat menikmati limpahan ekonomi yang dijana melalui inisiatif-inisiatif ini.
“Menuju Sabah Maju Jaya Berteraskan Produktiviti” adalah tema yang dipilih seiring dengan kedudukan semasa ekonomi dan tahap produktiviti di Sabah yang memerlukan transformasi ekonomi seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0, 2021- 2025,” katanya.
MPC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan di peringkat agensi kementerian, sektor swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan merupakan antara pihak yang terlibat sepanjang penghasilan buku Laporan Produktiviti Negeri Sabah 2022.





