Agong Gesa Rakyat Terus Lakukan Solat Sunat Hajat Untuk Rakyat Palestin

Agong Gesa Rakyat Terus Lakukan Solat Sunat Hajat Untuk Rakyat Palestin

0
SHARE
Agong
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

PEKAN, PAHANG – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa rakyat Malaysia terus mengadakan solat sunat hajat dan berdoa untuk rakyat Palestin yang sedang menderita akibat serangan rejim Israel.

Memetik sumber Bernama, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya solat sunat hajat diadakan memohon bumi Palestin dapat terus dipertahankan khususnya Masjid Al-Aqsa.

Baginda yang turut berdukacita dengan penderitaan rakyat Palestin, bertitah orang ramai perlu membantu meringankan beban dialami rakyat negara itu dengan memberi sumbangan termasuk kewangan mengikut kemampuan masing-masing.

“(Nasib) rakyat Palestin begitu sedih, begitu dukacita, kerajaan rejim Zionis sudah menghancurkan ribuan rakyat Palestin.

“Saya harap dan menyeru semua rakyat terus berdoa kepada Allah supaya rakyat Palestin dipelihara, bertahan dan bersemangat tinggi,” titah baginda selepas Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Pahang Tua di sini, semalam.

Turut hadir, anakanda baginda, Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan bakal Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri.

Ru’RASA adalah bantuan rumah kepada golongan memerlukan yang dibina dengan kerjasama UAE dan 16 penduduk layak menerima kunci rumah itu, semalam.