Makmal Forensik Mudah Alih Diguna Periksa Dokumen Dalam Inkues Zara Qairina –...

Makmal Forensik Mudah Alih Diguna Periksa Dokumen Dalam Inkues Zara Qairina – Peguam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memasuki hari ke-13 hari ini dengan tumpuan kepada penggunaan makmal forensik mudah alih bagi pemeriksaan dokumen yang dikaitkan dengan kes tersebut.

Tiga pakar forensik dokumen hadir ke mahkamah, masing-masing Tay Eue Kam dari PHA Handwriting Services, Dr. Dzulkiflee Ismail serta Dr. Wan Nur Syuhaila Mat Desa daripada Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM). 

Kehadiran mereka bertujuan membantu mahkamah memahami bukti bertulis melalui kaedah saintifik yang lebih menyeluruh.

Menurut peguam keluarga arwah, Nizam Salleh, makmal forensik mudah alih tersebut membolehkan analisis dilakukan secara terperinci termasuk pemeriksaan dakwat dan pen, penggunaan cahaya UV/IR, teknik ESDA untuk mengesan tulisan tersembunyi, serta analisis tekanan dan urutan penulisan. 

Kaedah FTIR Spectroscopy turut digunakan bagi mengenal pasti komposisi dakwat dan kertas.

Dalam pada itu, pakar lain iaitu Dr. Linthini Gannetion dari SD Forensic Document Services turut membentangkan analisis awal terhadap beberapa dokumen, meliputi rekonstruksi helaian koyak, analisis peralihan tulisan serta perbandingan visual dengan sampel tulisan bagi tujuan penentuan penulis.

Sementara itu, prosiding inkues hari ini juga diteruskan keterangan bersama saksi kanak-kanak kedua selepas pelajar A kelmarin dan dijangka dua lagi saksi kanak-kanak lain turut dibawa ke Mahkamah Koroner.

Untuk rekod, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai kira-kira jam 3 pagi, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada 17 Julai jam 1.07 tengah hari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.