KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menafikan dakwaan bahawa Geopark Global UNESCO Kinabalu kurang diberi perhatian berbanding destinasi lain, namun mengakui usaha promosi perlu terus diperkukuh menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Pembantu Menteri kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (GRS-Tanjong Batu), berkata pelbagai inisiatif promosi telah dilaksanakan menerusi Lembaga Pelancongan Sabah termasuk penglibatan Geopark Kinabalu dalam program berkaitan geopark dan rizab biosfera.
Beliau menangkis dakwaan Datuk Jaujan Sambakong (Warisan-Sulabayan) bahawa kawasan Geopark Kinabalu merangkumi Tuaran hingga Kota Marudu mempunyai nilai lebih besar berbanding Geopark Langkawi, namun kurang dipromosikan.
Andi berkata promosi pelancongan Sabah dilaksanakan berdasarkan empat kerangka utama iaitu budaya, pengembaraan, alam semula jadi dan kelestarian.
Sementara itu, menjawab soalan Samuel Wong Tshun Chuen (Warisan-Luyang), beliau berkata Tahun Melawat Sabah 2027 bukan sekadar menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong, tetapi memastikan manfaat ekonomi pelancongan dikongsi lebih luas.
Katanya, fokus kempen itu merangkumi pengukuhan rantaian nilai pelancongan termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, kraftangan serta produk pelancongan berasaskan komuniti.
Beliau berkata sesi libat urus bersama pemain industri sedang dijalankan bagi memperhalusi program dan aktiviti, selain Lembaga Pelancongan Sabah akan mempergiat pemasaran pakej tempatan serta sokongan kepada pengusaha kecil dan sederhana.






