RCI Tabung Haji: G57 buat laporan polis, minta siasat kenyataan Madinah

RCI Tabung Haji: G57 buat laporan polis, minta siasat kenyataan Madinah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini tampil membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap kenyataan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berhubung isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

​Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan berkenaan dibuat susulan dakwaan Madinah yang didakwa cuba memutar balik fakta serta mengelirukan masyarakat umum berhubung proses siasatan RCI institusi berkenaan.

​Menurut Zulkarnain, kenyataan Madinah yang mendakwa beliau tidak dipanggil memberi keterangan serta tidak menemui sebarang bukti penyelewengan semasa berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara merupakan satu tindakan yang sengaja menimbulkan keresahan pendeposit Tabung Haji.

​”Kami tampil membuat laporan polis hari ini bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap kenyataan yang dibuat oleh Madinah kerana ia berunsur penyesatan fakta,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar Balai Polis Sri Petaling di sini hari ini.

​Sehubungan itu, Zulkarnain turut mencabar Madinah supaya berhenti memutar balik fakta isu RCI Tabung Haji di media sosial mahupun platform awam demi mempertahankan diri atau agenda tertentu.

​”Jika beliau rasa di pihak yang benar, tampil dan jawab secara terbuka berhubung 75 soalan serta akuan berkanun yang pernah diserahkannya kepada pihak suruhanjaya berkenaan,” katanya.

​Beliau menambah, tindakan mempertikaikan dapatan RCI secara terbuka bukan sahaja menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap institusi kewangan Islam berkenaan, malah sengaja dijadikan modal politik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

​Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menyangkal dakwaan Madinah dan mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah mengeluarkan sepina serta mengemukakan 75 soalan bertulis yang telah dijawab sendiri oleh Madinah melalui akuan berkanun pada 1 April 2022 untuk direkodkan sebagai kenyataan saksi RCI.