PARIS, PERANCIS – Badan kesihatan kebangsaan Perancis semalam memberi amaran mengenai kebangkitan semula kes COVID-19 di negara itu dan menggesa orang ramai untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri daripada virus itu.
Badan Sante Publique France (SPF) yang dipetik Reuters berkata, sepanjang minggu iaitu dari 5 hingga 11 September, terdapat 186 kes sah COVID-19, bagi setiap 100,000 orang di Perancis, meningkat 12 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Ia mewakili purata sekitar 18,000 kes baharu setiap hari.
Awal minggu ini, pengarah eksekutif badan pemerhati Agensi Ubat Eropah (EMA), Emer Cooke dalam temu bual Next Newsmaker Reuters berkata, orang di Eropah harus mengambil apa sahaja vaksin penggalak COVID-19 yang tersedia untuk mereka, memandangkan jangkaan peningkatan jangkitan pada musim luruh.





