KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatat peningkatan 10 peratus atau satu kes kematian akibat komplikasi demam denggi kepada 11 kes sepanjang tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya.
Memetik sumber Berita Harian, Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, peningkatan itu mewakili 0.16 peratus kadar kematian akibat penyakit berkenaan pada tahun lalu.
“Kes kematian akibat demam denggi pada tahun lalu masing-masing tiga direkodkan di Sandakan; dua di Kunak dan masing-masing satu di Papar, Semporna, Kudat, Nabawan, Putatan serta Tuaran,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dr Asits berkata jumlah kes denggi di Sabah pada tahun lalu mencatat penurunan 1.8 peratus kepada 6,983 kes sehingga Minggu Epidemiologi 52 (ME52) berbanding 7,110 kes yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.
Katanya, penduduk di negeri ini perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelak demam denggi terutama sepanjang bulan ini dan bulan depan berikutan jangkaan curahan hujan yang kerap berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL).
Beliau juga meminta orang ramai mengambil langkah pencegahan, antaranya melakukan aktiviti cari dan musnah di sekeliling premis 10 minit setiap minggu dan gotong-royong di kawasan kediaman masing-masing.
“Selain itu, orang ramai perlu melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan dan semburan aerosol ketika waktu nyamuk aktif iaitu pada waktu awal pagi (jam 5 hingga 7 pagi) dan lewat petang (jam 5 petang hingga 7 malam).
“Orang ramai juga perlu untuk mendapatkan rawatan awal di mana-mana fasiliti kesihatan jika mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit sendi, tulang, otot, sakit kepala yang kuat dan sakit di belakang mata,” katanya.
Dr Asits berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini denggi di aplikasi iDengue atau melalui pautan laman sesawang iDengue di https://idengue.mysa.gov.my.
“Ambil peduli bahaya denggi, jika tidak maut menanti. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.