TUARAN: Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang sejak semalam ditemui selamat dan berada dalam keadaan lemah di kebun halia dalam kejadian di Kampung Sinulihan di sini, petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mahmud Jumah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.12 pagi tadi.
Katanya, penduduk kampung yang merupakan jiran kepada mangsa, Akun Kalawot, 80 tahun, menyatakan bahawa mangsa telah keluar rumah dan masuk ke kawasan hutan selain keluarga memaklumkan mangsa dalam keadaan kurang sihat kerana nyanyuk.
“Keluarga mangsa telah membuar pencarian bersama orang kampung pada jam 5.30 petang hingga jam 10.30 malam semalam sebelum membuat laporan ke pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12.53 pagi tadi untuk meminta bantuan mencari mangsa.
“BBP Tuaran bersama enam anggota PDRM, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama 21 penduduk kampung bergerak ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh pihak PDRM di kawasan kebun halia dalam keadaan selamat dan lemah pada sekitar jam 3.10 petang tadi.
“Pasukan bomba seterusnya ke lokasi mangsa ditemui untuk membantu mengangkat mangsa sebelum diberikan rawatan oleh pasukan EMRS.
“Setelah diberi rawatan, mangsa kemudian diserahkan kepada ahli keluarga untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 3.20 petang.