UiTM Melonjak Naik Menjadi 100 Universiti Terbaik Asia

UiTM Melonjak Naik Menjadi 100 Universiti Terbaik Asia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) melonjak naik dengan menjadi 100 Universiti Terbaik Asia apabila mencapai kedudukan ke-98 dalam QS Asia University Rankings (AUR) 2024 yang dikeluarkan hari ini.

UiTM buat pertama kali dalam sejarah melakar pencapaian terbaik dengan naik enam anak tangga daripada kedudukan 104 tahun lepas, meletakkannya di kedudukan ke-98 yang mempamerkan dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi UiTM terhadap kecemerlangan.

Antara 11 petunjuk bagi QS AUR, UiTM menyaksikan peningkatan tertinggi dalam markah bagi Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa, yang merupakan ukuran kekayaan atau kepelbagaian rakan penyelidikan antarabangsa UiTM yang turut mencerminkan usaha universiti ke arah memacu penglibatan global.

Selain itu, UiTM juga menyaksikan peningkatan markah yang ketara bagi Reputasi Majikan, Reputasi Akademik dan Nisbah Pelajar Antarabangsa.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, beliau bersyukur atas pencapaian mengagumkan dan ia merupakan satu sambutan yang baik untuk permulaan perjalanannya di UiTM.

“Pencapaian besar ini sebahagian besarnya adalah hasil usaha bekas Naib Canselor kami, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor yang mana di bawah kepimpinan beliau, UiTM telah berjaya melonjak ke tahap lebih tinggi yang dicerminkan melalui pengiktirafan ranking ini. 

Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor…

“Saya amat komited untuk memelihara dan membina legasi yang dihormati ini dan memastikan UiTM terus berusaha mencapai pencapaian yang lebih baik,” katanya seperti yang dipetik Utusan Malaysia.

Tambahnya, penarafan itu adalah bukti untuk mencapai matlamat menjadi universiti global yang tidak meninggalkan fungsi asalnya untuk mendidik bakat tempatan.

Tahun ini, QS AUR 2024 menyenaraikan 857 institusi di 25 lokasi di Asia, peningkatan sebanyak 149 institusi daripada tahun lepas.

“Sebagai universiti terbesar di Malaysia, kami berbangga untuk menyertai barisan 12 peratus universiti terbaik di Asia. Kami juga mengucapkan tahniah kepada lima institusi tempatan baharu yang disenaraikan dalam QS AUR 2024 tahun ini,” ujarnya.