Kajian Panasonic Dedahkan Kelemahan Air Dimasak

Kajian Panasonic Dedahkan Kelemahan Air Dimasak

0
SHARE
Air
Sekadar gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

PETALING JAYA, SELANGOR – Kajian penilaian kualiti air terkini oleh Panasonic Malaysia mendedahkan bahawa walaupun proses mendidih air berkesan dalam menghapuskan kloroform, ia gagal untuk menyingkirkan tiga bahan asing utama lain yang sering ditemui dalam air paip di Malaysia, iaitu mangan, kandungan logam berat, dan sisa klorin bebas.

Memetik sumber Berita Harian, lebih membimbangkan, kajian itu turut menunjukkan bahawa mendidih air boleh, dalam beberapa kes, meningkatkan kepekatan mangan akibat penyejatan, yang berpotensi membawa risiko kesihatan jika diminum secara berterusan.

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, keputusan kajian itu mengetengahkan kelemahan mendidih air sebagai kaedah tradisional untuk memastikan air minuman yang bersih dan selamat, sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan air paip yang dimasak.

“Dalam era moden ini, di mana kesihatan dan keselamatan semakin mendapat perhatian, keputusan ini memberikan alasan yang kuat untuk rakyat Malaysia mempertimbangkan alternatif yang lebih berkesan seperti penggunaan penapis air.

“Panasonic Malaysia, dalam komitmennya untuk menyediakan penyelesaian hidup sihat bagi setiap rumah di Malaysia, telah bekerjasama dengan Panasonic Corporation untuk menjalankan kajian komprehensif ini,” katanya.

Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Keisuke Nishida, menjelaskan bahawa amalan mendidih air telah menjadi kebiasaan sejak berdekad-dekad, namun teknologi penapisan air yang canggih kini menawarkan penyelesaian yang lebih baik.

“Dalam masyarakat kita, mendidih air selalu dianggap sebagai kaedah terbaik untuk menulenkan air minuman.

“Namun, dengan hasil kajian ini, kami menyedari bahawa kaedah tradisional ini mungkin tidak lagi mencukupi untuk memastikan air yang diminum benar-benar selamat,” kata Nishida.

Bagi mendapatkan hasil yang komprehensif, Panasonic telah membabitkan pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), termasuk Dr Minhaz Farid Ahmed iaitu Felo Penyelidik di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), serta Prof Dr Mazlin Mokhtar, Timbalan Ketua Jabatan Penyelidik UNSDSN-Asia yang juga merupakan bekas Pengarah LESTARI.

Kajian berkenaan melibatkan ujian air paip dari 48 lokasi di enam negeri termasuk Kelantan, Perlis, Selangor, Johor, Sabah, dan Sarawak.

Kajian ini memberi tumpuan kepada empat bahan utama yang biasanya terdapat dalam air paip di Malaysia dan mempunyai potensi untuk menjejaskan kesihatan jika berada pada kepekatan tinggi: sisa klorin bebas, kloroform, kandungan logam berat, dan mangan.

Walaupun air yang diuji telah dirawat dan memenuhi piawaian kualiti air minuman kebangsaan, keputusan kajian menunjukkan bahawa proses mendidih air sahaja tidak memadai untuk menyingkirkan semua bahan asing berbahaya ini.

Dr Minhaz menegaskan bahawa sistem penapisan air Panasonic, yang merangkumi model TK-AS500, TK-AS700, dan TK-CJ300, menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik dalam menyingkirkan bahan asing seperti klorin bebas, kandungan logam, mangan, dan kloroform daripada air paip, berbanding dengan air yang hanya dimasak.

“Keputusan kajian ini bukan sahaja sejajar dengan aspirasi negara melalui WST2040 (Transformasi Sektor Air 2040), tetapi juga memberi penekanan kepada kepentingan penggunaan teknologi penapisan moden untuk memastikan bekalan air minuman yang selamat di setiap rumah,” tambah Dr Minhaz.

Keisuke Nishida juga menekankan bahawa Panasonic berhasrat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kebaikan penapis atau penulen air di rumah.

“Dengan teknologi penapisan terkini, kami yakin rakyat Malaysia dapat menikmati air minuman yang lebih bersih, selamat, dan sihat. Panasonic komited untuk terus menyediakan penyelesaian yang menyokong gaya hidup sihat bagi setiap rumah di Malaysia,” kata Nishida.

Panasonic Malaysia menggalakkan orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut tentang teknologi penapis air mereka dengan melayari laman web rasmi Panasonic, di mana pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk penapis air yang sesuai untuk keperluan isi rumah, serta memahami bagaimana teknologi ini boleh memberi manfaat kepada kesihatan mereka.