TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes pukul menggunakan topi keledar di sebuah pondok bas di Batu 4, Jalan Apas, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku ketika seorang lelaki dan seorang wanita sedang menaiki sebuah motosikal sebelum ditahan oleh seorang kenalan di lokasi berkenaan.
“Suspek dipercayai bertindak menyerang mangsa menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan di beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, susulan laporan polis yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau segera menjalankan siasatan dan berjaya mengesan serta menahan suspek berusia lingkungan 36 tahun di Kampung Batu Payung.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah topi keledar berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penyalahgunaan dan kesalahan berkaitan dadah, manakala motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.






