KOTA KINABALU: Sebanyak 66 notis kesalahan berkaitan larangan merokok dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 178 premis di sekitar bandar raya ini menerusi tiga operasi penguatkuasaan Ops Paru-Paru (Ops PaPa).
Operasi yang dilaksanakan pada 28 Julai serta 4 dan 6 Ogos lalu itu memberi tumpuan kepada tahap pematuhan larangan merokok di tempat makan, kompleks beli-belah dan bangunan tempat kerja.
Seramai 59 anggota terdiri daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), Pembantu Kesihatan Awam (PKA) serta anggota sokongan terlibat dalam keseluruhan operasi berkenaan.
Daripada 178 premis diperiksa, sebanyak 172 merupakan tempat makan, manakala selebihnya membabitkan kompleks beli-belah dan bangunan tempat kerja.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan penguatkuasaan ialah kawasan komersial di Kepayan, Jalan Lintas, Damai, 88 Marketplace dan Jesselton Quay, selain Suria Sabah, Karamunsing Mall serta Asia City.
Kesalahan yang dikesan termasuk merokok di kawasan larangan, kegagalan pemilik atau penghuni premis mempamerkan papan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi ditetapkan serta kegagalan memastikan tiada individu merokok di dalam premis.
Pihak berkuasa menasihatkan semua pemilik premis dan orang ramai supaya memahami serta mematuhi keperluan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), termasuk kawasan larangan merokok yang diwartakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Orang ramai turut diingatkan bahawa kawasan awam seperti kaki lima kawasan kedai juga merupakan tempat larangan merokok.
Operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap larangan berkenaan serta melindungi kesihatan dan keselamatan orang ramai.






