KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior menjadi saksi atau orang pertama melihat Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.
Perkara itu didedahkan pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, ketika membacakan keterangan bertulisnya pada inkues kematian arwah Zara Qairina di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, hari ini.
Beliau yang bertugas mengawal kawasan asrama perempuan pada hari kejadian, berkata dia didatangi seorang pelajar yang memberitahunya ada pelajar pengsan.
Menjawab soalan peguam ibu arwah Zara, Shahlan Jufri sama ada pelajar terbabit ditemani pelajar lain, Linah berkata, hanya pelajar itu seorang memanggilnya.
Shahlan: Bagaimana dia memaklumkan kepada puan bahawa ada pelajar pengsan?
Linah: Dia panggil, aunty, aunty ada budak pengsan. Saya tanya apa bilik, dia cakap bukan di bilik. Jadi kami terus berlari dan sampai di situ saya nampak pelajar terlentang. Saya tidak pegang sebab dia terlentang, tapi dia masih bernafas.
Shahlan: Masa dia panggil, ada siapa-siapa lagi?
Linah: Tiada, dia seorang saja.
Shahlan: Selepas dia panggil dan puan pergi ke tempat kejadian, adakah puan tahu siapa pelajar itu?
Linah: Ya memang saya tahu, lepas tengok muka saya terus ingat nama dia Zara.
Shahlan: Macam mana puan boleh pasti pelajar tu Zara?
Linah: Memang biasa dengan budak sana kan.






