KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini dimaklumkan bahawa telefon awam di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Kinarut, ditutup 48 jam selepas Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang pada 16 Julai lalu.
Perkara itu diberitahu pengawal keselamatan sekolah berkenaan, Linah Mansoding @ Jaliha, 64, yang juga saksi keenam inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Linah memberitahu mahkamah demikian ketika ditanya pihak berkepentingan yang juga peguam mewakili ibu Zara, Shahlan Jufri, pada sesi soal jawab prosiding yang masuk hari kelima.
Shahlan: Dalam tempoh dua hari selepas 16 Julai 2025, adakah pelajar-pelajar sekolah boleh menghubungi ibu bapa mereka?
Linah: Macam ‘public phone’ (telefon awam) pun sana ada kena tutup selama dua hari dua malam.
Shahlan: ‘Public phone’ di sana ditutup selama dua hari dua malam?
Linah: Sebab budak-budak banyak call (hubungi) ibu bapa diorang (mereka).
Shahlan: Sebelum itu Puan, ada berapa ‘public phone’ di sana?
Linah: Blok A tiga (telefon awam), blok B tiga (telefon awam).
Shahlan: Macam mana ‘public phone’ ditutup?
Linah: Dikasi mati (ditutup) suis.
Shahlan: Siapa tutup suis?
Linah: Ketua warden suruh tutup.
Pada awal keterangannya, Linah memberitahu, beliau bergegas ke asrama Blok Rabiatul Adawiyah sekolah berkenaan dan melihat seorang pelajar perempuan dikenali dengan nama Zara, terlentang di longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau memberitahu bertugas syif mulai jam 8 malam pada 15 Julai hingga 8 pagi keesokannya.
Katanya, rondaan di Blok Rabiatul Adawiyah pada jam 2 pagi mendapati keadaan terkawal.
Ketika membuat rondaan di Blok Sumayyah pada jam 3 pagi, katanya, seorang pelajar memaklumkan ada pelajar pengsan di longkang Blok Rabiatul Adawiyah.






