WARISAN Umum Tiga Calon Muda PRU-15 Tanding Kerusi Sandakan, Tawau Dan Kota...

WARISAN Umum Tiga Calon Muda PRU-15 Tanding Kerusi Sandakan, Tawau Dan Kota Kinabalu

0
SHARE
Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berucap dalam Majlis Makan Malam 'Reset Sabah' anjuran WARISAN bahagian Kota Kinabalu bertempat di Dewan Hakka malam tadi...

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan seramai tiga orang lagi calon yang bakal berentap dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Menurutnya, TIGA (3) orang calon bangsa Cina dari golongan belia itu masing-masing akan bertanding untuk kerusi Parlimen Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.

Antara calon terbabit ialah Alex Thien, 31, jurutera kimia akan bertanding di Sandakan dan Chen Ket Chuin, 28, peguam akan bertanding di Tawau.

Manakala Amanda Yeo, 29, penganalisis kajian pula bakal bertanding di Kota Kinabalu.

Shafie berkata tiga calon muda itu merupakan calon yang mempunyai latar belakang pendidikan yang diiktiraf, berpengetahuan tinggi dan juga terdedah dengan dunia politik sebelum ini.

Beliau yakin memilih calon dari golongan belia dengan kelayakan sedemikian bakal menjadikan mereka antara pemimpin muda yang mampu mentadbir negara di masa hadapan.

“Bayangkan sekiranya mereka menjadi Ahli Parlimen, dengan ilmu pengetahuan mereka, sudah tentu ia akan membantu mereka menjadi ahli politik dan pemimpin yang matang…

“Ia bukan hanya untuk WARISAN sahaja tetapi juga menyumbang kepada kepimpinan di negara.

“Kita tidak boleh mengharapkan pengundi muda semata-mata tetapi kita juga harus mengharapkan pemimpin muda untuk memimpin,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam ‘Reset Sabah’ anjuran WARISAN bahagian Kota Kinabalu bertempat di Dewan Hakka, semalam.

Dalam pada itu, Shafie juga berkata pihaknya akan membimbing ketiga-tiga calon itu dalam konteks politik dan juga dalam mendepani pilihan raya.

Sementara itu, beliau juga menambah bahawa beliau yakin dapat memenangi tiga kawasan yang ditandingi tiga calon tersebut walaupun kawasan yang disasarkan itu bukan dimiliki WARISAN.

“Bukan kerana mereka muda, mereka tidak boleh buat, akan adanya banyak pertimbangan pengundi bukan hanya berdasarkan kerusi ini bukan milik kita…

“Sebelum kita bertanding dulu pun, ada kerusi bukan milik kita tetapi mereka (calon pilihanraya sebelum ini) menang kerana kita bantu,” katanya.