Abang Johari Sahkan Wan Junaidi Berundur Tidak Bertanding PRU15

Abang Johari Sahkan Wan Junaidi Berundur Tidak Bertanding PRU15

0
SHARE
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg...

KUCHING, SARAWAK – Penyandang kerusi Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sudah menyatakan hasrat untuk berundur dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Wan Junaidi secara peribadi telah membuat permohonan tersebut untuk memberi laluan kepada calon lain untuk bertanding.

“Wan Junaidi ada memberitahu saya bahawa beliau mahu berundur, bagaimanapun saya belum membuat keputusan berhubung perkara tersebut…

“Tetapi beliau sendiri yang meminta perkara tersebut, apa yang boleh kita buat lagi,” katanya.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Jentera Wanita GPS PRU-15 di Pusat Konvensyen Penview, Demak Laut, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya antara faktor Wan Junaidi ingin berundur adalah disebabkan sudah lanjut usia.

“Wan Junaidi memberitahu saya bahawa beliau kini berusia 77 tahun dan ingin membuat kerja lain. Tetapi beliau akan tetap menjadi penasihat kita,” ujarnya.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar…

Wan Junaidi merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Sarawak iaitu selama 32 tahun sejak 1990 bermula sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar.

Beliau kemudian bertukar kawasan dengan penyandang kerusi Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim ke Parlimen Santubong pada 2004.