TAWAU: Dalam sekelip mata, rumah yang menjadi tempat berlindung dan menyimpan seribu kenangan musnah dijilat api. Namun, di sebalik kesedihan yang menimpa mangsa kebakaran di Batu 2 dan Hilltop, Tawau, masih ada sinar harapan apabila masyarakat tampil menghulurkan bantuan.
Atas semangat kemanusiaan dan keprihatinan terhadap nasib mangsa, Juntingzon Production mengambil inisiatif menganjurkan Charity Gig For Mangsa Kebakaran di Tanah Tercinta Tawau yang dijadual berlangsung pada 17 November 2026, bermula jam 8 malam hingga selesai di Satara Artium, Sekolah Sabah Chinese, Kubota, Tawau.
Penganjuran konsert amal berkenaan bukan sekadar menghimpunkan peminat muzik, sebaliknya menjadi medan penyatuan masyarakat untuk membantu keluarga yang kehilangan tempat berteduh dan harta benda akibat tragedi kebakaran.
Lebih menyentuh hati, acara itu bakal menampilkan barisan pemuzik dan penghibur anak jati Tawau yang secara sukarela menyumbangkan bakat serta tenaga mereka demi membantu meringankan beban mangsa.
Antara yang dijadual membuat persembahan ialah Hybrid, Noisy Crush, Embong Sama Kawannya, Goncar, Thetiks, Watersheed, Damage Inc, Kyu Ju Roku, Jayryong, Taufik Mokhsin, Fatlin, Danska, GBS, Kevin Chaw dan Spirit Sound serta ramai lagi.
Persembahan dram khas turut dijadualkan membabitkan Raymond Shin Guan Hong dan Natasha Chok Yin Shan.
Majlis berkenaan dijangka dirasmikan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal.
Orang ramai turut digalakkan menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk pakaian, makanan, perkakas, barangan keperluan harian mahupun wang tunai bagi membantu mangsa meneruskan kehidupan selepas tragedi berkenaan.
Penganjuran ini membawa mesej bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi mampu menjadi jambatan kasih sayang yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang ketika berdepan musibah.
Hari ini mungkin mereka yang kehilangan segala-galanya, namun esok lusa siapa tahu kita pula yang diuji dengan nasib serupa.
Justeru, masyarakat Tawau dan kawasan sekitarnya diseru hadir memberikan sokongan serta bersama-sama menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.
Kerana bagi keluarga yang sedang berdepan kehilangan, bantuan sekecil mana sekalipun mampu membawa sinar harapan untuk mereka kembali bangkit membina kehidupan.
Hari ini hari mereka, esok lusa mungkin hari kita. Bersamalah meringankan beban sesama insan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi pihak penganjur menerusi talian 011-1002 7207.






