LDP: Parti Tempatan Tetap Kuat, Walau Sokongan Cina Kepada Warisan

LDP: Parti Tempatan Tetap Kuat, Walau Sokongan Cina Kepada Warisan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chin Su Phin yakin parti-parti tempatan Sabah akan terus mengukuhkan kedudukan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, walaupun sebahagian besar pengundi Cina kini dilihat cenderung menyokong Parti Warisan Sabah.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Negeri lalu, ramai meramalkan Warisan sukar membentuk kerajaan negeri berikutan kekurangan sokongan kukuh daripada pengundi Kadazan Dusun Murut dan Melayu, meskipun ketika itu ramai dalam komuniti Cina berharap sebaliknya.

“Walaupun ramai pengundi Cina menyokong Warisan, kita dapat lihat rakyat Sabah semakin bersatu dan mahukan parti tempatan terbaik untuk mewakili mereka,” katanya selepas menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina LDP 2026 di Dewan SJKC Chi Hwa, di sini.

Mengulas PRU akan datang, Chin berpandangan parti dari Semenanjung wajar tidak bertanding di Sabah, namun mengakui dalam sistem demokrasi tiada pihak boleh dihalang daripada bertanding.

“Walaupun mereka bertanding, saya yakin parti tempatan akan muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya Parlimen akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan usaha memperkukuh parti tempatan bukan bermaksud menentang Kerajaan Persekutuan, sebaliknya rakyat Sabah mahukan autonomi lebih kukuh seperti dinikmati Sarawak.

Chin berkata LDP mempunyai jentera parti lengkap dan calon berpotensi, selain biro aduan yang aktif turun padang membantu masyarakat di kawasan seperti Luyang, Likas, Elopura dan Tanjung Papat.

Beliau turut menggesa rakyat Sabah menyatukan sokongan kepada parti tempatan seperti GRS bagi memastikan suara yang lebih kuat dan bersatu dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan demi pembangunan negeri.