KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Grace Lee Li Mei berkata program “Ramadhan Untuk Semua” tahun ini membawa makna lebih mendalam sebagai tanda penghormatan dan solidariti terhadap rakan-rakan Muslim yang menunaikan ibadah puasa.
Program anjuran bersama PKR Kota Kinabalu itu menyaksikan beliau bersama pasukan turun padang menyediakan dan mengagihkan sebanyak 3,300 juadah di 15 lokasi sekitar bandar raya pada Ahad, melibatkan 1,500 bubur lambuk, 1,500 pek kurma dan 300 bubur kacang hijau.
Menurut Ketua Cabang itu, program tahunan itu terasa lebih “manis” kali ini kerana mereka terlibat secara langsung daripada proses memasak, membungkus hingga mengagihkan juadah, berbanding sebelum ini yang menggunakan khidmat katering.
“Sebagai seorang yang bukan beragama Islam, ini adalah cara saya menunjukkan rasa hormat dan sokongan. Paling bermakna apabila kita yang berbilang kaum dapat bekerjasama dan menghayati semangat Ramadan bersama,” katanya.
Beliau menambah, pemilihan bahan yang berkualiti turut diberi perhatian bagi memastikan juadah yang disediakan menepati citarasa dan memberi kepuasan kepada penerima.
Grace berharap usaha berkenaan dapat terus memberi manfaat kepada masyarakat serta memperkukuh keharmonian di ibu negeri.






