Ahli Lembaga Pelawat HMBP Bantu Pesakit Mental Pulih, Kembali Kepada Masyarakat

Ahli Lembaga Pelawat HMBP Bantu Pesakit Mental Pulih, Kembali Kepada Masyarakat

0
SHARE
Christina
Christina (kiri) ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Lembaga Pelawat Hospital Mesra Bukit Padang (HMBP) komited membantu pesakit yang mengalami penyakit mental agar pulih dan kembali kepada masyarakat.

Pengerusinya, Datuk Dr Christina Rundi berkata, usaha tersebut merangkumi dua langkah utama iaitu membantu HMBP dalam program rehabilitasi seterusnya mengubah stigma masyarakat kepada pesakit yang pulih.

“Tujuan kami khususnya Ahli Lembaga HMBP adalah untuk membantu hospital dalam program rehabilitasi mereka dengan mengembalikan pesakit-pesakit yang mengalami penyakit mental pulih dan kembali kepada kehidupannya di dalam keluarga, masyarakat dan juga kehidupan sebagai seorang individu dalam satu-satu komuniti.

“Setelah pulih, kita akan mengadakan pelbagai program untuk mereka dan masyarakat dengan tujuan utama untuk menghilangkan stigma tentang pesakit yang mengalami mental meskipun kita tahu ia satu proses yang agak lama dan susah memandangkan ia bukan sahaja datang daripada diri pesakit itu sendiri tetapi juga dari keluarga, masyarakat serta orang-orang yang memegang kepada polisi yang berkaitan kepada penyakit mental,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Christina turut memaklumkan kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkenalkan Ahli Lembaga Pelawat HMBP yang baru dilantik bagi tempoh 2023 hingga 2026 kepada Tun Juhar.

Sementara itu, Pengarah HMBP, Dr. Firdaus Abdul Aziz menyatakan proses rawatan yang dimaksudkan turut mendapat pelbagai sokongan bagi mencapai tahap pemulihan yang baik.

“Di HMBP, perawatan yang kami jalankan turut mendapat sokongan daripada occupational therapy, Physiotherapy, kaunselor dan pakar psikologi bertujuan mencapai kepada pemulihan dari pelbagai aspek seperti psikologi, mental dan fizikal.

“Kesemua program yang dilaksanakan berjalan dengan lancar, dari semua ini saya menganggap perawatan sepertinya bukan sahaja tertuju kepada perubatan semata-mata tetapi juga kepada aspek psikologi yang disebut sebagai rehabilitasi,” tambahnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH