GRS Digesa Selesaikan Perbezaan Secara Dialog Dalaman – Joniston

GRS Digesa Selesaikan Perbezaan Secara Dialog Dalaman – Joniston

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disaran menangani sebarang perbezaan pendapat dan isu dalaman melalui dialog tertutup yang matang dan konstruktif, demi memelihara kestabilan dan perpaduan politik di Sabah.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, walaupun perbezaan pandangan antara parti dalam satu gabungan adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya dibiarkan berlarutan sehingga mengganggu keharmonian serta keutuhan kerjasama politik yang telah dibina.

“Pendekatan dialog dalaman adalah kunci untuk memastikan gabungan ini kekal kukuh dan berfokus. Apa jua kebimbangan yang wujud, mari kita bawa ke meja perbincangan dan selesaikannya secara harmoni,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas perkembangan terkini yang menyaksikan timbulnya perbezaan pendapat dalam kalangan parti komponen GRS, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai hala tuju dan kesepakatan gabungan itu.

Joniston berkata, GRS di bawah pimpinan Pengerusi Datuk Seri Hajiji Haji Noor sentiasa mengamalkan kepimpinan yang terbuka dan sedia mendengar pandangan berbeza secara berhemah.

“Saya percaya bahawa kepimpinan dalam GRS tidak hanya diukur melalui kekuatan politik semata-mata, tetapi juga melalui keupayaan untuk mendengar, bertolak ansur dan bekerjasama walaupun dalam keadaan tidak sependapat,” ujarnya.

Menurut beliau, kestabilan politik di Sabah tidak harus diganggu oleh konflik terbuka yang boleh dielakkan jika semua pihak mengambil pendekatan dalaman yang rasional dan berhemah.

“Saya percaya adalah lebih bijak jika semua parti komponen mendekati sebarang isu dengan semangat perpaduan dan saling menghormati,” katanya.

Sementara itu, Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), menegaskan komitmen berterusan partinya terhadap perpaduan GRS dan mekanisme dalaman sebagai platform utama menyelesaikan sebarang perselisihan.

“Sebagai parti pengasas GRS, PBS mengiktiraf nilai dan sumbangan setiap komponen. Kepelbagaian dalam gabungan ini adalah kekuatan, dan ia mesti dipandu dengan saling menghormati serta matlamat bersama,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa matlamat utama GRS adalah kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sabah, yang mesti mengatasi kepentingan peribadi atau kepartian.

“PBS tetap teguh dengan prinsip perpaduan, saling hormat-menghormati, dan tanggungjawab bersama dalam GRS. Kita percaya, jika semua pihak berpegang kepada nilai ini, GRS akan terus menjadi lambang tadbir urus yang berkesan dan pemangkin perubahan positif di negeri ini,” katanya.