PENAMPANG, SABAH – Festival STEM dan TVET mampu melahirkan modal insan mahir dalam bidang teknologi pada masa akan datang yang menjadi teras industri 4.0.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata sebenarnya pendidikan STEM lebih menekankan cara untuk berkomunikasi, bekerjasama, kreatif dan berfikir secara kritikal dalam sesuatu perkara.
“Manakala, pendidikan TVET pula diperkenalkan untuk memenuhi permintaan industri bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan, teknologi dan mobiliti tenaga kerja global,” katanya semasa Majlis Perasmian Penutupan Festival STEM dan TVET Peringkat Negeri Sabah, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim.
Beliau turut menyatakan pertandingan PBL dan inovasi yang dianjurkan itu juga dapat melatih murid berkomunikasi dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menghasilkan bahan, produk atau teknologi baharu.
“Pelajar-pelajar bermula daripada asas untuk menyiapkan PBL dan inovasi mereka, oleh itu perlu mengkaji, menyelidik serta menemubual untuk mencari maklumat yang diperlukan.
“Sesetengah maklumat boleh didapati dengan hanya memetik hujung jari sahaja, namun terdapat maklumat memerlukan mereka untuk mengadakan jaringan dengan pihak luar sama ada pihak kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dan SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF). — JABATAN PENERANGAN SABAH