Sabah Harap Isu 40 Peratus Dapat Disegerakan – Ketua Menteri

Sabah Harap Isu 40 Peratus Dapat Disegerakan – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan kepada Sabah dapat disegerakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu turut dibangkitkan dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Bil.1/2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Untuk makluman juga, kita bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah ada mohon pertimbangan terutama dalam penyelesaian 40 peratus pembayaran kepada Sabah itu juga mendapat pertimbangan yang sewajarnya.

Jadi kita ingin supaya ini juga dapat diselesaikan dan disegerakan. Itu bagi pihak negeri Sabah,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak selepas mesyuarat itu.

Sementara itu, sebagai langkah interim, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah segera mulai tahun ini kepada RM1.5 bilion.

Anwar berkata, rundingan mengenai perkara itu akan diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian asal.

“Untuk itu, saya telah setuju untuk menambah segera mulai tahun ini RM1.5 bilion sebagai langkah interim.

“Rundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti mana dalam perjanjian awal,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dijangka membawa kertas berkaitan perkara itu ke Parlimen pada Oktober sebelum jumlah RM1.5 bilion tersebut disalurkan kepada Sabah, kemungkinan pada akhir Oktober atau awal November.

Perdana Menteri juga berkata, Jemaah Menteri pada Rabu lalu telah bersetuju dan meluluskan prinsip penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan meningkatkan nisbah perwakilan mereka.

Turut hadir pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 itu ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.